Mempelajari adab tatasusila pergaulan
KETAHUILAH sesungguhnya setiap insan bernama Muslimin mempunyai hak dan tanggungjawabnya, iaitu memerlu bercampur gaul dan bermasyarakat dengan manusia.
Ada kalanya kerana berkerabat atau berjiran, juga kerana musafir bersama dan menuntut ilmu bersama. Akhirnya kerana sesama Islam.
Justeru itu mereka perlu mempelajari atab tatasusila mengenai pergaulan itu. Sudah ditakdirkan setiap golongan memerlukan penyempurnaan kehidupan daripada golongan yang lain.
Contohnya seorang ahli perusahaan yang hartawan memerlukan golongan pekerja(kuli), untuk melaksanakan pelbagai kerja untuk memajukan perusahaannya.
Sebaliknya manusia memerlukan pekerjaan untuk menyara kehidupan keluarga, mereka memerlukan sumber pendapatan daripada pekerjaan. Tanpa majikan mereka akan menjadi penganggur akan menempuh kesulitan hidup.
Sebaliknya majikan walau bertaraf jutawan sekalipun, juga memerlukan khidmat para pekerja pelbagai peringkat, tanpa para pekerja akan tutup perusahaannya sebagai kemunjak kegagalan.
Tiada manusia ciptaan Tuhan boleh hidup bersendirian di muka bumi ini, tanpa campur tangan pihak lain untuk melengkapkan keperluan hidupnya.
Ibarat ikan dan garam dari lautan, asam dan lada serta daun kesum dari daratan. Berhimpun dalam kuali dan dimasak dengan nyalaan api, barulah bernama gulai ikan asam pedas yang diperlukan dalam sajian.
Bagi keluarga mahram memang mempunyai haknya, tetapi hak bagi kedua ibu bapa lebih kukuh dan gagah.
Begitu juga hak jiran yang berlainan tarafnya, juga mengikut dekat jauh jaraknya dengan rumah kita.
Sebanyak-banyak tanggugjawab yang lebih besar dan kukuh, maka tanggungjawab keluraga adik beradik (kerabat).
Dalam kelurga yang mustahak didahulukan ialah yang mahram. Dalam mahram itu pula ialah ibu bapa yang wajib didahulukan.
Pernah seorang sahabat bertanya kepada Nabi S.A.W.: Seramai-ramai manusia di muka bumi ini, siapakah yang paling mustahak dibuat baik? Jawab Rasulullah S.A.W. tiga kali jawapan yang serupa iaitu”ibumu,”selepas itu barulah Nabi S.A.W. kata”bapamu”.
Begitu juga masalah jiran yang pelbangai haknya berdasarkan peringkat kedudukannya, jiran yang terdekat perlu diutamakan.
Misalnya jemputan jamuan kenduri dari jiran yang dekat perlu diutamakan diikuti jiran yang jauh.
Martabat atau ketegori jiran itu adalah perkara nisbi, hingga orang senegeri yang tidak dikenali bertemu jauh ketika perantauan.
Ia bemartabat setiap orang dekat kerabat walaupun ketika di tanah air berlainan daerah, kerana orang ini dikira ada ketentuan dari segi kejiranan dalam negeri.
Apabila kembali semula ke negara semestinya orang senegeri lebih rapat, berbanding dengan orang dari negeri lain. Ini ajaran tabii semula jadi yang diajar oleh Islam.
Adapun hak Muslim ke atas Muslim yang lain ialah memberi salam dengan ucapan “Assalamu’alaikum” ketika bertemu, perkenan undangan apabila dijemput (jika tiada perkara maksiat).
Apabila dia bersin hendaklah bertasymit kepadanya dengan:”Yarhamkallah” setelah dia sendiri ucap “Alhamdulillah”.
Asal istilah tasymit ialah menolak kesukaan musuh apabila lawannya ditimpa bala. Bersin merupakan tolakan udara dengan mengejut sebagai tanda kemungkinan munculnya bala penyakit.
Apabila orang yang bersin ucap Alhamdulillah, keadaan itu memberi peluang pihak yang mendengarnya untuk mendoakan:”Yarhamkallah” semoga anda dirahmati Allah S.W.T.
Jika di senyap tanpa memuji Allah S.W.T. bererti dia tidak beri peluang menyambutnya dengan ucapan: ”Semoga Allah S.W.T. memberi rahmat kepadanya.”
Ziarahinya apabila dia sakit, selain mendapat pahala juga semoga hati pesakit gembira. Tidak semestinya hanya ubat yang diharap merawat penyakitnya, tetapi hati gembira kerana kehadiran kawan ziarah juga boleh bantu cepatkan sembuhnya.
Ketika Rasulullah S.A.W. menziarahi Saad bin Ubadah yang terkena panahan musuh pada urat lengannya, Nabi S.A.W. berdoa yang bermaksud:”Wahai Tuhanku aku minta supaya sembuhkan hambamu, apabila dia sembuh supaya dia solat kepada-Mu dan dia boleh bunuh musuhnya.”
Hak Muslim seterusnya ialah hadir dan saksikan jenazahnya apabila dia meninggal dunia, yang lebih penting ialah melakukan solat jenazah sebagai pertolongan terakhir kepadanya.
Seterusnya dikehendaki menyempurnakan sumpahannya apabila dia bersumpah (qasam) melibatkan kamu melalui nazarnya atas Allah S.W.T, nazar bererti hendak melakukan sesuatu dengan nama Allah S.W.T.
Jika nazar yang tidak menyebut nama Allah S.W.T. hendaklah ditunaikan juga, kerana mengota apa yang dikata adalah tanda kita tidak berdusta.
Itu tanda menghormati lidah sendiri, semoga pihak lain juga menghormati dan tidak memandang rendah peribadi kita.
Selain itu nasihatinya sebagai kewajipan dan haknya apabila dia mita nasihatmu, sebagai orang Islam berilah manfaat fikiran kepadanya sekadar termampu dan anjurkan dia istikharah.
Kerana tidak sia-sia orang yang istikharah dan tidak sesal orang bermesyuarat.
Hendaklah memelihara apa jua sama ada nama kehormatannya, juga rumah kediamannya ketika ketiadaannya.
Oleh : Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat.
Diambil dari akhbar Harakah sisipan Fikrah ruangan Iqra.













